Jenis Kepalsuan Yang Paling Lazim
Pandemik COVID-19 global telah mengubah status quo untuk perniagaan dan bagaimana ia beroperasi, dengan memberikan lebih penekanan pada mewujudkan kehadiran digital. Banyak syarikat telah melaksanakan tugasan yang sukar untuk menerima pakai platform dalam talian bagi memudahkan proses perniagaan mereka dan memperluaskan jangkauan mereka kepada para pelanggan. Dengan kemajuan teknologi baharu yang berkembang setiap hari, jenayah secara dalam talian juga meningkat. Ramai yang telah menjadi mangsa jenayah dalam talian ekoran lebih banyak masa dihabiskan di Internet semasa pelaksanaan kawalan pergerakan COVID-19. Semasa perintah pertama 'kawalan pergerakan' pada tahun lepas, jumlah jenayah dalam talian telah meningkat dengan ketara di Malaysia. Ini disebabkan oleh fakta bahawa sebahagian besar daripada aktiviti-aktiviti harian telah bertukar kepada dalam talian seperti memesan makanan, membeli bahan-bahan dan juga membeli barangan runcit. Ini merupakan satu ciri utama peralihan dunia kepada 'normal baharu'.
Pelbagai Jenis Penipuan Dalam Talian
Laman web dan platform dalam talian kini menjadi sumber utama sasaran pihak penipu yang ingin mengeksploitasi individu yang tidak mengesyaki apa-apa. Terdapat banyak jenis jenayah siber, tetapi jenis yang paling biasa adalah penipuan dalam talian. Mari kita mengetahui lebih lanjut tentang pelbagai bentuk penipuan dalam talian.
1)Panggilan Sejuk
Penipuan dalam talian secara haram sering dilakukan melalui “panggilan sejuk”. Taktik yang disenaraikan di bawah semuanya berada dalam kategori penipuan dalam talian yang sama, dalam bentuk panggilan sejuk.
- Berjaya memenangi wang atau barangan secara misteri
- Memenangi loteri
- Tuntutan pembayaran balik wang tunai
- Skim “Cepat kaya”
- Skim pelaburan internet
- Skim Pertukaran Asing
- Bank bertanyakan tentang transaksi/ maklumat sensitif sesuatu akaun
Individu yang terdedah kepada perkara tersebut tidak menyedari tentang penipuan ini yang bertujuan untuk mendapatkan maklumat sensitif tentang akaun mereka. Masalah berlaku apabila individu-individu ini gagal mengenalpasti adakah organisasi tersebut adalah sah dan bukannya penipu. Salah satu kesilapan yang paling biasa dilakukan oleh mangsa-mangsa ini adalah secara tidak sedar bertindak balas terhadap situasi tersebut dengan berusaha mengatasi masalah secara sendiri tanpa menggunakan saluran bantuan rasmi yang disediakan oleh pihak berkuasa yang berkenaan.
2)Penipuan Cinta
Dengan gaya hidup kita yang banyak bergantung kepada Internet, ia telah menjadi satu platform utama bagi para penipu untuk menyasarkan individu yang tidak mengesyaki apa-apa. Sudah menjadi perkara biasa bagi kita untuk melihat berita tentang mangsa yang ditipu ekoran kepura-puraan cinta, keselamatan dan kekayaan seseorang yang dikenali dari media sosial atau memberi respons terhadap sesuatu iklan. Salah satu penipuan yang paling kerap berlaku adalah penipuan cinta yang biasanya dihiasi dengan janji-janji manis berbaur cinta dan persahabatan. Setelah kepercayaan terjalin, mangsa akan diminta untuk melakukan pemindahan wang sebagai satu bentuk sokongan kepada usaha penipu tersebut.
3)Penipuan Keselamatan
Satu lagi jenis penipuan yang sering disertai oleh penyamaran pihak berkuasa dalam e-mel pancingan data dikenali sebagai penipuan keselamatan. Jenis penipuan ini menimbulkan ketakutan pada mangsa dan mangsa akan diarahkan untuk melakukan pindahan wang demi mengekalkan kekayaan mereka.
4 Penipuan Hadiah
Jenis penipuan biasa yang terakhir adalah penipuan hadiah, di mana mangsa diberitahu bahawa mereka telah memenangi hadiah dan mereka hanya perlu memberikan beberapa butiran sensitif untuk menerima hadiah tersebut. Sebagai contoh, anda sering melihat iklan yang memberitahu anda bahawa anda telah terpilih sebagai salah seorang pemenang bertuah oleh platform e-dagang yang sering anda kunjungi. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah memberikan beberapa butiran utama dan membayar kos penghantaran untuk menerima hadiah anda. Iklan-iklan ini sering kelihatan sah dan memerlukan pemerhatian yang tajam untuk mengenal pasti kesahihannya.
Peningkatan Kes-kes Penipuan di Malaysia
Walaupun penipuan Internet semakin kerap berlaku, kaedah penipuan konvensional masih sering digunakan. Ombudsman for Financial Services (OFS), sebelum ini dikenali sebagai Biro Pengantaraan Kewangan telah diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berdasarkan Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. Mereka adalah organisasi bukan berasaskan keuntungan dan berfungsi sebagai saluran alternatif penyelesaian permasalahan bagi menyelesaikan pertikaian antara penyedia perkhidmatan kewangan (FSP), yang dilesenkan atau diluluskan oleh BNM dan para pengguna kewangan. Dalam laporan mereka baru-baru ini, terdapat peningkatan dalam jumlah penipuan kewangan yang direkodkan, terutamanya ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Malaysia pada tahun lepas. Penipuan ini berbeza berbanding penipuan menerusi telefon, pancingan data, penipuan menerusi SMS dan kebanyakannya melibatkan transaksi kewangan untuk tujuan keuntungan peribadi.
Sumber: Berita Utama: Pengguna lebih terdedah kepada penipuan semasa pandemik; pautan: https://www.theedgemarkets.com/article/cover-story-consumers-more-vulnerable-scams-during-pandemic.
Seperti yang ditunjukkan di atas, jumlah kes penipuan yang diterima oleh OFS telah meningkat dengan begitu ketara pada tahun lalu berbanding tahun-tahun sebelumnya. Angka ini berkemungkinan lebih tinggi sekarang ekoran pelaksanaan PKPP. Di samping itu, perlu diingat bahawa sesetengah mangsa tidak melaporkan kes mereka kerana mereka kekurangan maklumat atau pengetahuan tentang cara untuk melaporkannya. Dengan maklumat ini, timbul persoalan yang kritikal; bolehkah kita mencegah penipuan seperti itu daripada berlaku? Jawapannya adalah, ya!
Meningkatkan Kesedaran Terhadap Bahaya-bahaya Penipuan
Banyak langkah-langkah telah diambil oleh pihak berkuasa untuk mendidik dan mengingatkan pengguna tentang kes-kes penipuan yang telah berlaku semasa pandemik. Walaupun institusi kewangan yang mengambil bahagian telah memainkan peranan mereka dengan meningkatkan kesedaran tentang penipuan ini, adalah disarankan agar pihak perniagaan juga secara berterusan mengingatkan dan memberi maklumat kepada pengguna tentang trend penipuan terkini.
Sebagai pengguna, kita hendaklah berhati-hati apabila menerima panggilan dari sumber yang tidak diketahui. Kita hendaklah mengamalkan kebiasaan untuk memeriksa latar belakang individu dan pihak-pihak yang tidak dikenali sebelum mendedahkan maklumat atau meluluskan sesuatu transaksi. Mempunyai kewaspadaan untuk dapat mengenal pasti tawaran atau cadangan yang terlalu baik untuk menjadi satu kenyataan adalah amat penting dalam memerangi penipu. Selanjutnya, bertindak balas secara impulsif sering kali terbukti memberikan kelebihan kepada para penipu. Adalah lebih baik untuk tidak bertindak balas dengan serta-merta tetapi berfikir secara kritikal dan mengambil nota tentang butiran penipu tersebut. Pengguna hendaklah berusaha sebaik mungkin untuk tidak terlibat dalam panggilan atau mesej daripada individu yang tidak dikenali yang mengaku sebagai pihak berkuasa. Penipu melakukan yang terbaik untuk mengancam individu yang tidak mengesyaki apa-apa dengan prospek tuduhan jenayah, kesalahan atau tunggakan. Kekal tenang dan jangan berasa takut oleh ancaman-ancaman yang tidak berasas tersebut.
Penipu juga diketahui untuk meminta maklumat-maklumat peribadi asas dan perincian perbankan seperti Kod Kebenaran Transaksi (TAC), nombor kad, PIN kad, keselamatan dan perincian akaun. Ini adalah taktik-taktik yang kita sering terlepas pandang dan tidak kita sedari. Dengan pengetahuan ini, pengguna tidak boleh mendedahkan kata laluan peribadi atau TAC kepada orang lain. Membuat semakan sebanyak dua kali bagi memastikan bahawa perincian transaksi adalah betul, adalah kritikal dalam usaha menentang penipu. Kita hendaklah kerap melakukan pemeriksaan secara menyeluruh sebelum membenarkan sebarang transaksi bagi memastikan kesahihannya. Langkah-langkah memberikan kebenaran adalah kog utama yang membolehkan transaksi dilaksanakan. Sekiranya pengguna berhadapan dengan sesuatu yang tidak normal, ia hendaklah dilaporkan dengan segera.
Pihak Berkuasa yang Berkaitan untuk Mendapatkan Bantuan
Pengguna berhak untuk melaporkan kejadian penipuan ini kepada pihak berkuasa untuk memulakan tindakan pencegahan yang perlu diambil bagi mengekang kejadian tersebut daripada berulang. Di Malaysia, pengguna hendaklah mengetahui entiti-entiti ini yang boleh membantu mereka sekiranya sesuatu transaksi penipuan disyaki telah berlaku:
- Polis Diraja Malaysia (PDRM)
- Bank Negara Malaysia (BNM)
- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)
- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)
- Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM)
- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
- Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM)
Sentiasa Berwaspada
Penipu menggunakan alasan COVID-19 untuk meraih keuntungan, dengan menyasarkan mereka yang mudah ditipu, terutama mereka yang baru kehilangan pekerjaan, mereka yang menderita akibat kerugian kewangan dan gagal dalam perniagaan. Akhir sekali, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai pengguna supaya berhati-hati terhadap persekitaran kita dan tidak bertindak dengan terburu-buru. Amatlah penting untuk kita mengingatkan keluarga, kawan-kawan dan rakan sekerja dan untuk berkongsikan pengalaman kita bagi mengelakkan ancaman daripada ditipu.
Related Articles