Mengapa ETF Mungkin Sesuai untuk Anda?
Beli murah, jual mahal.
Ini merupakan satu perkara yang biasa dalam dunia pelaburan. Apa yang menjadi masalah adalah kita sering menyasarkan untuk membeli pada harga yang murah dan menjualnya pada harga yang mahal. Tindakan pemasaan pasaran merupakan sesuatu yang amat sukar dilakukan terutama apabila ianya didorong oleh pelbagai faktor yang bersifat rasional dan tidak rasional. Percubaan untuk melakukannya menyebabkan tindakan untuk melabur adalah berdasarkan emosi, di mana seseorang akan cenderung untuk mengikuti tindakan majoriti di pasaran sehingga hilang kawalan terhadap portfolio pelaburan mereka. Perkara tersebut akan menjejaskan keputusan yang bakal diambil untuk membeli dan menjual saham.
Bagaimanakah pelaburan mengikut emosi dapat dicegah? Pelan penyelesaian bagi mengatasinya merangkumi pengetahuan yang mendalam terhadap gangguan pasaran, mengekalkan perspektif jangka masa panjang tentang pelaburan dan memiliki portfolio pelaburan yang pelbagai. Selain itu, adalah penting untuk melakukan usaha wajar; ketahui toleransi risiko anda, ketahui selok-belok syarikat yang anda melabur di dalamnya serta yakin terhadap model perniagaan syarikat tersebut. Pengetahuan ini akan memastikan para pelabur mengambil tindakan yang rasional pada waktu-waktu ketaktentuan.
Sama ada anda mempunyai sedikit masa untuk melakukan usaha wajar atau baru memulakan pelaburan, salah satu kaedah yang lebih baik untuk memulakan perjalanan pelaburan anda adalah dengan melabur dalam portfolio pelbagai pelaburan yang diuruskan. Walaupun Dana Amanah adalah yang paling popular, produk pelaburan lain yang terkenal adalah Dana Dagangan Bursa (ETF).
ETF adalah portfolio sekuriti yang diuruskan secara pasif yang didagangkan di bursa-bursa utama. Portfolio sekuriti tersebut bertujuan untuk meniru prestasi indeks, sektor, negara atau wilayah tertentu dalam pelbagai jenis aset tradisional (saham dan bon) dan kelas-kelas aset alternatif (mata wang dan komoditi). ETF membolehkan para pelabur memiliki portfolio pelaburan yang pelbagai dengan cepat pada kos yang minimum.
Sebilangan besar ETF yang ditawarkan di dunia adalah dana berdasarkan indeks. Sesetengahnya telah mengalami perubahan yang ketara tentang cara ia memantau prestasi pendasar penanda aras. Salah satu ETF tersebut adalah ETF pembalikan yang menghasilkan pulangan daripada penurunan pendasar penanda aras. Contoh lain adalah ETF Leveraj, yang bertujuan untuk mengatasi pulangan aset pendasar atau indeks yang dijejaki dengan menggunakan derivatif kewangan. Kedua-dua jenis ETF ini boleh didapati di pasaran Malaysia.
Sehingga kini, terdapat 19 ETF yang disenaraikan di bursa Malaysia yang ditawarkan untuk pelbagai kelas dan sektor aset. Ia terdiri daripada 1 ETF komoditi, 11 ETF ekuiti, 1 ETF pendapatan tetap dan 6 ETF Leveraj dan Pembalikan. Walaupun ETF mengalami pertumbuhan dalam jumlah yang banyak di negara-negara seperti AS dan Hong Kong, jumlah Pengurusan Aset (AUM) untuk 19 ETF ini agak kecil berbanding Dana Amanah yang masih merupakan produk Pelaburan pilihan dalam kalangan pelabur di Malaysia.
ETF mempunyai ciri-ciri yang agak serupa dengan Dana Amanah kerana kedua-duanya merupakan portfolio yang pelbagai. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perbezaan ketara yang menjadikan ETF sebagai produk pelaburan yang turut sama menarik.
Fleksibiliti
Seorang pelabur membeli dan menjual Dana Amanah berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAV); harga yang ditentukan hanya pada akhir hari setiap hari. Ini bermaksud bahawa apabila keputusan untuk membeli dan menjual dana amanah diambil, pelabur hanya akan mengetahui harga transaksi pada akhir hari. Sebaliknya, untuk ETF, pelabur boleh membeli dan menjual berdasarkan harga pasarannya, yang merupakan harga yang terpapar di bursa, satu perkara yang sama dengan saham. Kecairan bermaksud ianya lebih senang untuk ETF dibeli dan dijual. Tambahan pula, di Malaysia, Dana Amanah mempunyai waktu transaksi diberhentikan lebih awal dibandingkan dengan ETF, yang mengikuti waktu pembukaan bursa.
Ketelusan
Pegangan dana amanah, biasanya 10 yang teratas, dipaparkan pada lembaran fakta dana bulanannya. Untuk ETF, komposisi dipaparkan di laman web Bursa dan dikemas kini pada setiap hari. Dari segi pengukuran prestasi berdasarkan penanda aras, ETF diwujudkan bagi tujuan menjejak penanda aras pilihan mereka dengan ralat penjejakan yang rendah. Bagi sesetengah Dana Amanah, semakan dana yang serupa diperlukan sekiranya tiada penanda aras yang terbaik yang mewakili strategi pelaburannya.
Struktur Kos
Memandangkan dana amanah diuruskan secara aktif dan mesti dibeli dari institusi kewangan atau platform swasta lain, yuran pengurusan dan yuran pengagihan secara semula jadi adalah lebih tinggi berbanding ETF. Untuk yuran pengurusan, dana amanah boleh dikenakan kadar antara 1% hingga 2%, manakala caj untuk ETF jatuh antara 0.2% hingga 0.8%, kedua-duanya untuk yuran pengurusan setiap tahun dari dana NAV. Untuk kos-kos lain, para pelabur boleh dikenakan bayaran pengedaran antara 1% hingga 5.5% untuk setiap pembelian dana amanah. Sementara ETF, seperti saham, dikenakan yuran broker dan duti setem biasa.
Strategi pasif
Mungkin terdapat keraguan yang wujud bahawa dana yang dikendalikan secara pasif memberikan pulangan yang rendah. Analisis ringkas terhadap prestasi ETF tempatan menunjukkan bahawa ia adalah sebaliknya. Untuk mengambil beberapa contoh, pulangan terkumpul bagi 1 tahun untuk Trade Plus Shariah Gold Tracker pada 18 Mac 2021 adalah 14% berbanding penanda arasnya iaitu 15%. Hal yang sama juga berlaku pada Trade Plus NYSE FANG + Daily Leveraged Tracker yang berada pada 365.46% berbanding indeks pendasarnya iaitu 159.27% dan penanda aras sebanyak 461.3%. Walaupun tidak bertujuan untuk mengatasi penanda aras seperti yang dilakukan oleh Dana Amanah, prestasi ini jarang sekali rendah. Selain itu, strategi pelaburan pasif bermaksud bahawa kemahiran pengurus dana tidak akan mempengaruhi prestasi dana.
Melabur dalam ETF adalah satu langkah yang baik bagi pelabur yang berpengalaman dan yang baharu. ETF yang mudah dapat membantu mengurangkan beta portfolio pelaburan. Sebagai contoh, sekiranya portfolio pelaburan lebih banyak mengandungi saham kitaran, ETF yang mengesan S&P 500 dapat membantu menurunkan nilai beta keseluruhan dengan pantas memberi pendedahan portfolio pelaburan kepada saham-saham yang defensif. Sekiranya anda mempunyai toleransi risiko yang lebih tinggi, ETF bertema atau ETF leveraj berpotensi membantu menghasilkan pulangan yang lebih tinggi, sambil mengekalkan tahap kepelbagaian. Disebabkan nisbah perbelanjaan ETF yang rendah, peruntukan ke dalam ETF membantu mengurangkan kos transaksi. Ini sangat membantu bagi portfolio taktikal, di mana pengimbangan semula portfolio secara kerap diperlukan. Bagi pelabur baharu, ETF membantu mencapai portfolio pelaburan yang pelbagai tanpa memerlukan banyak penyelidikan dan prinsipal.
Seperti yang telah disebutkan sebelum ini, salah satu cara untuk menghalang emosi daripada menjadi salah satu faktor dalam membuat keputusan adalah dengan mempunyai pelaburan untuk jangka waktu yang lebih lama. Ini adalah disebabkan pasaran adalah gambaran asas yang lebih baik dalam jangka masa panjang berbanding jangka masa pendek. Sejarah telah menunjukkan bahawa prestasi pasaran meningkat dalam jangka masa yang lebih lama. Apabila melabur dalam ETF dalam jangka masa panjang, seseorang akan memperoleh manfaat daripada kesan pengkompaunan. Bukan hanya kerana ia mampu menjejak penanda aras, kos pelaburan yang rendah dalam ETF bermakna lebih banyak wang pelabur boleh digunakan dalam pelaburan yang sebenar.
Kesimpulannya, ETF saling melengkapi produk-produk pelaburan lain seperti dana amanah, namun begitu ia juga merupakan satu pilihan yang baik sebagai sesuatu yang berasingan dalam portfolio baharu untuk mendapatkan kepelbagaian yang cepat dan berpatutan. Sekiranya anda ingin menambah kepelbagaian dalam portfolio anda atau terlalu sibuk untuk memantau portfolio pelaburan anda sepanjang masa, ETF mungkin sesuai untuk anda.
Related Articles