Penjelasan

Penjelasan

Sejak kebelakangan ini, pasaran Malaysia heboh dengan berita tentang waran. Minat pelabur terhadap waran telah melonjak dengan begitu mendadak sejak waran Supermax Corp Berhad dan Top Glove Berhad berjaya menguasai senarai paling untung di Bursa Malaysia.

Waran memberikan hak, tetapi bukan kewajipan, kepada pemegangnya untuk membeli atau menjual aset tertentu pada harga yang telah ditetapkan (dipanggil harga ‘strike’) dengan syarat harga aset tersebut didagangkan pada tahap tertentu dalam tempoh tertentu atau pada tarikh dan masa tertentu. Waran dikatakan telah dilaksanakan sekiranya pembelian atau penjualan tersebut berlaku mengikut syarat waran. Aset yang dijadikan pendasar waran biasanya disebut sebagai aset pendasar; sekiranya aset pendasar adalah saham, ia juga boleh dirujuk sebagai “saham induk”.

Dengan kata lain, waran memperolehi nilainya daripada aset atau sekuriti pendasarnya. Waran juga merupakan instrumen kewangan leveraj kerana ia memberikan pendedahan kepada aset pendasar dengan hanya sebahagian kecil daripada harga aset pendasar.

Waran juga terdapat dalam beberapa “gaya”. Gaya waran yang lebih popular di pasaran Malaysia adalah gaya Eropah dan gaya Amerika. Waran gaya Eropah hanya boleh dilaksanakan pada tarikh luput; tarikh di mana waran tidak lagi sah. Sebaliknya, waran gaya Amerika boleh dilaksanakan dalam tempoh masa sebelum tarikh luput.

Waran dilengkapi dengan pelbagai ciri. Ia boleh berdasarkan pada pelbagai aset atau sekuriti seperti saham, sekumpulan sekuriti (seperti indeks saham), matawang atau juga komoditi.

Di Malaysia terdapat dua jenis waran: waran syarikat dan waran berstruktur.

WARAN SYARIKAT

Waran syarikat dikeluarkan oleh sebuah syarikat, dan ia memberikan kepada pemegang hak untuk membeli saham syarikat tersebut pada harga yang telah ditetapkan pada tarikh atau tempoh sebelum tarikh tamat tempoh.

Waran ini mempunyai tarikh matang (sehingga 10 tahun) yang mana selepas tempoh tersebut tamat, ia tidak bernilai lagi kecuali jika pihak pemegang telah melaksanakannya untuk melanggan saham baharu sebelum tarikh matang. Waran syarikat biasanya tidak didagangkan dan tidak mempunyai pembuat pasaran.

WARAN BERSTRUKTUR

Tidak seperti waran syarikat, waran berstruktur dikeluarkan oleh penerbit pihak ketiga berlesen, seperti broker yang layak, bank pelaburan dan institusi-institusi kewangan lain.

Waran berstruktur boleh memiliki aset pendasar dalam bentuk sekuriti tunggal, sekumpulan sekuriti, komoditi atau matawang. Melaksanakan waran berstruktur berdasarkan saham tidak mempengaruhi jumlah saham dalam sesebuah syarikat.

Walaupun waran berstruktur boleh dilaksanakan, para pelabur biasanya tidak membeli waran berstruktur untuk tujuan tersebut. Malah, waran berstruktur digunakan oleh para pelabur untuk memanfaatkan pergerakan pasaran dengan cepat dan digunakan sebagai alat pelaburan jangka pendek. Sebagai produk leveraj, waran berstruktur membolehkan pelabur memperoleh kedudukan yang besar dalam saham atau indeks (seperti Indeks Hang Seng) dengan menggunakan modal yang agak kecil.

Selain itu, semua waran berstruktur mempunyai pembuat pasaran bagi memastikan kecairan. Apabila anda memperoleh waran, harga yang anda bayar disebut sebagai premium waran.

Waran ‘Call’ & Waran ‘Put’

Semua waran berstruktur boleh dikategorikan dalam dua jenis utama yang dikenali sebagai Waran ‘Call’ dan Waran ‘Put’, berlandaskan sama ada waran tersebut memberikan hak untuk membeli atau hak untuk menjual.

Waran ‘Call’

Waran ‘call’ memberikan hak kepada pelabur untuk membeli aset pendasar daripada penerbit waran dengan harga yang telah ditetapkan, yang dikenali sebagai harga pelaksanaan atau harga ‘strike’ pada tarikh akan datang dengan syarat harga aset pendasar lebih daripada harga ‘strike’.

Dengan andaian semuanya masih sama, premium atau harga waran ‘call’ akan meningkat sekiranya harga aset pendasar meningkat dan akan menurun sekiranya harga aset pendasar menurun.

Waran ‘Put’

Waran ‘put’ memberikan hak kepada pelabur untuk menjual aset pendasar kepada penerbit waran pada harga pelaksanaan pada tarikh akan datang dengan syarat harga aset pendasar kurang daripada harga ‘strike’.

Dengan andaian yang semuanya masih sama, premium atau harga waran ‘put’ akan meningkat sekiranya harga aset pendasar menurun dan akan menurun sekiranya harga aset pendasar meningkat.

Kita perlu ingat bahawa harga aset pendasar bukanlah satu-satunya faktor yang boleh mempengaruhi harga waran. Faktor-faktor lain termasuk (tetapi tidak terhad kepada) turun naik pasaran dan kemerosotan masa. Dengan andaian semuanya masih sama, turun naik pasaran yang lebih tinggi (atau secara mudah “vol”) bermakna harga waran lebih tinggi, sama ada ia adalah ‘put’ atau ‘call’. Secara ringkas, vol pasaran yang tinggi secara umumnya, memberikan manfaat kepada para pemegang waran. Sebaliknya, kemerosotan masa sering memberikan kesan yang negatif terhadap harga waran, kita akan membincangkan tentang kemerosotan masa pada waktu lain, semasa kita membincangkan tentang risiko yang terlibat dalam pelaburan waran berstruktur.

Oleh yang demikian, harga waran berstruktur mungkin tidak berubah seperti mana yang diharapkan seiring dengan pergerakan tertentu dalam sekuriti pendasar. Sebagai contoh, harga waran ‘call’ mungkin merosot walaupun harga saham induk mengalami kenaikan pada hari tersebut. Ini mungkin disebabkan oleh penurunan dalam turun naik pasaran (yang memberikan kesan negatif terhadap harga waran). Di samping itu, waran berstruktur adalah pasaran yang tersendiri; yang mana permintaan dan penawaran boleh menyebabkan harga waran menyimpang dari harga yang sewajarnya.

Details
Published Date
04 Aug 2020
Source
Bursa Malaysia
Proficiency Level
Beginner
Share

Related Articles

Discover other related articles