Matlamat Simpanan
- Summary
Di sini kami kongsikan beberapa tip asas menyimpan wang:
- Empat tujuan asas kita menyimpan:
- kecemasan
- persaraan
- pendidikan
- perumahan
Lagi awal anda mula menyimpan, lagi cerah masa depan!
Gunakan kalkulator simpanan kami untuk mengira berapa banyak wang yang dapat dikumpul jika anda menyimpan untuk tempoh tambahan selama 10 tahun
Sasarkan untuk mempunyai simpanan kecemasan sekurang-kurangnya sebanyak 6 bulan gaji anda
Ini membolehkan anda atau keluarga anda memiliki sedikit dana yang boleh digunakan kalau anda kehilangan pekerjaan, jatuh sakit atau perlu menanggung kos membaiki rumah
Jaga kepentingan diri dulu!
Aturkan dengan bank anda untuk memindahkan sebahagian daripada duit gaji anda secara automatik ke dalam satu akaun simpanan yang berasingan untuk tujuan simpanan, sebelum wang itu digunakan untuk perbelanjaan bulanan (kecuali pembayaran balik hutang, yang perlu diutamakan).
Simpan dalam akaun yang berasingan
Asingkan akaun-akaun yang anda ada untuk tujuan perbelanjaan bulanan, simpanan kecemasan dan simpanan jangka panjang
Buat caruman tambahan dalam KWSP sebagai persediaan persaraan anda
Melaburlah dalam KWSP atau anda boleh juga laburkan sejumlah wang yang tetap setiap bulan ke dalam produk pelaburan yang kurang berisiko (baca lebih lanjut di sini)
Serendah mana pun pendapatan anda, carilah peluang untuk menyimpan.
Untuk dapatkan panduan tentang bagaimana nak merancang belanjawan agar simpanan anda dapat dimaksimumkan, klik di sini.
- Empat tujuan asas kita menyimpan:
JOM SELAMI LAGI TOPIK NI...
- Bila dan bagaimana saya patut mula menyimpan?
Bila saya patut mula menyimpan?
Anda patut mula menyimpan seawal yang boleh, supaya anda ada simpanan yang cukup bila tiba masa anda perlukan wang tersebut. Selain itu, kalau anda menyimpan wang anda dalam satu akaun deposit tetap, KWSP atau Amanah Saham Nasional, anda akan dapat menikmati bayaran faedah yang lebih jika mula menyimpan lebih awal!
Mahu faham dengan lebih mendalam? Baca di sini
Macam mana nak mula menyimpan?
Langkah 1 – Tetapkan beberapa matlamat simpanan yang asas
Utamakan simpanan untuk peristiwa kehidupan yang besar seperti persaraan, pendidikan, perumahan dan juga kecemasan. Selepas itu, barulah anda boleh tetapkan matlamat simpanan untuk perkara yang lain seperti percutian, membeli alatan baru dan sebagainya.
Tapi ingat, penting untuk anda utamakan persediaan untuk peristiwa besar dalam kehidupan. Ini penting kerana tanpa perancangan yang lebih awal, anda mungkin akan terpaksa banyak berhutang dan ini boleh membawa kepada stres.
Langkah 2 – Ketahui berapa jumlah wang yang anda mampu simpan setiap bulan
Bandingkan pendapatan bulanan dengan perbelanjaan bulanan anda. Cuba lihat apa yang boleh anda kurangkan atau buang terus daripada senarai perbelanjaan sebagai usaha untuk menambah simpanan anda setiap bulan. Baca artikel kami tentang perancangan belanjawan untuk membantu anda dalam perkara ini.
Langkah 3 – Asingkan wang untuk disimpan
Sekarang anda dah tahu berapa jumlah wang yang anda boleh simpan setiap bulan. Seterusnya bukalah satu akaun bank baru untuk tujuan simpanan. Aturkan supaya sejumlah wang yang tertentu akan terus dipindahkan ke dalam akaun ini secara automatik setiap bulan..
Untuk simpanan jangka pendek atau kecemasan, anda mungkin hanya perlukan satu akaun simpanan biasa. Untuk simpanan jangka panjang, anda boleh letakkan wang anda dalam satu akaun deposit tetap, KWSP atau Amanah Saham Nasional untuk menjana faedah yang lebih tinggi bagi meningkatkan jumlah simpanan anda. Anda boleh juga pertimbangkan melabur dalam produk lain seperti Dana Dagangan Bursa.
Untuk dapatkan tip tentang tempat yang paling sesuai untuk letakkan simpanan anda, klik di sini.
Langkah 4 – Pantau simpanan anda and lihat bagaimana anda semakin hampir mencapai matlamat simpanan anda!
Setelah anda tetapkan matlamat simpanan anda dan sudah mula mengasingkan sejumlah wang untuk mencapai matlamat tersebut, jangan lupa untuk semak kembali matlamat anda setiap 6 ke 12 bulan kalau-kalau anda perlu buat sedikit pindaan dari masa ke masa apabila situasi kehidupan anda berubah.
Sebagai contoh, kalau anda merancang untuk mendirikan rumahtangga, anda perlu masukkan perbelanjaan perkahwinan dalam matlamat simpanan anda. Atau kalau anda merancang mahukan cahaya mata, anda boleh mula menabung untuk tujuan pendidikan anak anda itu.
- Dekat mana patut saya letakkan wang yang saya simpan?
Dana Kecemasan: Anda mungkin akan perlukan wang ini dengan segera, jadi anda patut simpan dalam sebuah akaun yang membolehkan anda mengeluarkan wang tersebut dengan cepat seperti deposit tetap. Anda boleh buka beberapa jenis deposit tetap yang mempunyai tempoh masa yang berbeza-beza. Jadi, kalau anda hanya perlukan sebahagian saja daripada wang tersebut, anda boleh ambil sedikit simpanan daripada satu akaun tanpa mengorbankan faedah daripada akaun-akaun yang lain.
Hati-hati: Meletakkan dana kecemasan anda dalam pelaburan saham atau unit amanah membawa risiko yang tinggi. Kalau anda terpaksa jual saham anda apabila pasaran sedang turun, anda boleh kehilangan jumlah wang yang besar!
Jika anda berura-ura untuk meletakkan wang simpanan dalam KWSP, pastikan anda tahu tentang syarat-syarat pengeluaran – bila anda boleh keluarkan wang tersebut dan berapa banyak wang yang boleh dikeluarkan daripada akaun KWSP anda
Sepatutnya, simpanan kecemasan anda harus mencapai jumlah minimum 6 bulan gaji anda, tapi boleh saja kalau anda nak simpan lebih daripada itu untuk meningkatkan kestabilan kewangan anda.
Dana Persaraan: Untuk dana persaraan, kami sarankan pendekatan yang berlawanan. Memandangkan dana ini akan diperlukan dalam tempoh 20 ke 40 tahun lagi, adalah sangat penting untuk anda gunakan tempoh yang masih ada untuk mengembangkan lagi himpunan wang ini.
Paling penting, anda perlu pastikan nilai dana persaraan anda tidak dimamah inflasi. Anda pernah tak dengar ibu bapa anda mengimbau kembali zaman dulu apabila sepinggan mi goreng boleh dibeli dengan harga 20 sen? Dan sekarang sepinggan mi yang sama harganya lebih kurang RM7? Itulah inflasi!
Memang kita rasa selamat apabila ada wang tunai dalam tangan, tapi harga yang meningkat bererti semakin kurang barang yang boleh dibeli dengan jumlah wang tunai yang sama. Akaun simpanan, sebagai contoh, TIDAK terlepas daripada inflasi..
Tempat yang sesuai untuk melaburkan wang simpanan persaraan anda ialah dalam KWSP, yang menjamin pulangan minimum (sebelum inflasi) sebanyak 2.5%. Pelaburan KWSP dipelbagaikan dengan baik dan risikonya juga kurang berbanding dengan produk pelaburan lain dalam pasaran.
Sebagai alternatif, anda boleh juga melabur dalam produk pelaburan yang kurang berisiko seperti Amanah Saham Nasional..
Mahu dapatkan maklumat lanjut tentang pelaburan untuk tujuan persaraan? Baca artikel kami Pelaburan 101 dan Merancang untuk persaraan.
- Kenapa anda perlukan dana kecemasan?
Secara umum, ada tiga sebab utama kenapa anda perlu ada simpanan untuk tujuan kecemasan.
i) Risiko jatuh sakit – Kata orang malang tak berbau, dan anda mungkin akan terkejut dengan jumlah wang yang anda perlukan apabila sedang melalui satu krisis kehidupan. Menurut kajian ASEAN Costs in Oncology (ACTION) yang telah dijalankan oleh George Institute for Global Health, 46% daripada pesakit kanser telah menghabiskan wang simpanan mereka dalam tempoh hanya setahun selepas didiagnosis menghidap kanser. Setiap tahun, terdapat lebih daripada 30,000 kes baru pesakit yang menghidap kanser, ini belum lagi mengambil kira penyakit-penyakit yang lain. [Sumber Malaysiakini, 6 November, 2015 , (https://www.malaysiakini.com/advertorial/318645)]
ii) Hilang pekerjaan - Pekerjaan kita tak semestinya terjamin seperti yang kita sangkakan. Pada tahun 2015, akibat kejatuhan harga minyak sedunia, syarikat seperti Petronas serta syarikat minyak dan gas terpaksa memberhentikan ramai kakitangan mereka demi untuk mengurangkan kos. Malah, banyak syarikat yang telah jatuh bankrap.
iii) Membaiki rumah – Jika anda memiliki sebuah rumah atau kereta, pada masa tertentu anda mungkin perlu menanggung kos membaiki rumah yang akan menelan belanja yang besar. Anda kena pastikan yang anda ada cukup simpanan kecemasan untuk menampung perbelanjaan seperti ini.
Selain daripada mempunyai dana kecemasan, jangan lupa dapatkan polisi insurans nyawa dan perubatan ang sesuai dengan situasi dan keperluan anda yang terkini. Dengan mengambil langkah ini, simpanan kecemasan anda tak perlu digunakan untuk menampung semua perbelanjaan kalau sesuatu yang tak diduga berlaku, kerana insurans akan turut memberikan anda perlindungan dari segi kewangan.
Rasa macam bijak tak?
Kenapa kita kena menyimpan seawal yang boleh? Carta di bawah menunjukkan perbezaan antara mula menyimpan pada usia 25 berbanding dengan mula menyimpan pada usia 35. Pada kadar faedah 3% setahun, penangguhan selama 10 tahun akan mengurangkan dana persaraan anda sebanyak RM65,000!
*Dengan andaian kadar faedah 3% setahun, faedah dibayar secara tahunan, dan persaraan pada usia 65 tahun
Related Quizzes