Merancang Persaraan Anda
Guide
- Ringkasan
- Tak pernah terlalu awal untuk anda mula menyimpan bagi tujuan persaraan
- Ketahui keperluan persaraan anda
Dapatkan anggaran perbelanjaan yang akan diperlukan dalam tempoh persaraan. Ini termasuk keperluan seperti makanan, penjagaan kesihatan, dan perbelanjaan yang tak dijangka seperti kos membaiki rumah. - Tetapkan sasaran simpanan untuk persaraan
- Buat pelan pelaburan untuk mencapai sasaran anda dan patuhi pelan tersebut
JOM SELAMI LAGI TOPIK NI...
- Kenapa perancangan awal untuk persaraan itu penting?
Merancang persaraan adalah penting untuk mengelakkan anda bersara tanpamempunyai wang yang cukup untuk menampung keperluan harian anda. Lagipun, anda mesti mahu berseronok juga kan, jadi anda perlu menyimpan untuk tujuan itu.
Jangan lupa bahawa kos untuk mengekalkan gaya hidup anda juga akan meningkat disebabkan oleh inflasi, jadi wang simpanan yang anda asingkan itu perlu mengambil kira faktor inflasi juga. ll.
Inilah sebabnya kenapa menyimpan wang seawal mungkin untuk tujuan persaraan itu sangat penting, iaitu supaya anda dapat menikmati keajaiban pengkompaunan. Walaupun pulangan sebanyak 5% setahun mungkin bunyinya seperti tak begitu banyak, kalau anda mulakan dengan RM1,000 dengan faedah pengkompaunan tahunan sebanyak 5%, dalam masa 30 tahun wang itu akan menjadi lebih daripada RM4,000!
Ini kerana faedah yang anda dapat daripada simpanan awal anda akan menambahkan jumlah simpanan anda setiap tahun, jadi simpanan anda akan meningkat secara automatik dan anda akan dapat mencapai sasaran simpanan anda dengan lebih cepat.
Dengan pertambahan simpanan yang lebih cepat berbanding kadar inflasi, ini bermakna wang anda tak akan kehilangan nilainya dengan peredaran masa seiring dengan peningkatan kos.
Jadi macam mana nak rancang persaraan anda?
Tiada pelan persaraan ajaib yang sesuai dengan kehendak semua orang. Ada orang ingin menghabiskan waktu persaraan mereka dengan berehat dan meluangkan masa bersama rakan-rakan dan keluarga. Ada pula yang ingin melibatkan diri dalam aktiviti yang lebih mahal, seperti bermain golf atau fotografi. Jadi, perancangan persaraan tak akan sama untuk setiap orang.
- Langkah 1: Anda perlu tahu keperluan persaraan anda dan tetapkan matlamat kewangan
Ramai yang sering memandang remeh tentang jumlah wang yang akan diperlukan untuk menampung hari-hari persaraan mereka. Anda perlu tahu jenis persaraan yang anda inginkan dan rancang belanjawan anda dengan sewajarnya.
Kami telah menyenaraikan item yang biasa diperlukan dalam kehidupan seharian —cuba lihat berapa banyak wang diperlukan untuk setiap item dan buat anggaran jumlah yang diperlukan untuk menampung persaraan anda
- Barangan dapur
- Utiliti
- Penyelenggaraan isi rumah
- Penjagaan kesihatan, keperluan farmaseutikal
- Perkhidmatan langganan (WiFi, kad sim telefon bimbit…)
- Melancong dan hiburan
- Keperluan am (pembelian pakaian, buku…)
- Insurans
Anda perlu ambil maklum beberapa perkara penting tentang latihan ini:
Jangan lupa masukkan sekali kos untuk sesiapa yang mungkin akan terus berada di bawah tanggungan anda setelah anda bersara (pasangan, anak, cucu ...).
Penting untuk ‘kenal pasti' jumlah wang yang anda dapat.
Mengikut kebiasaan, pendapatan persaraan bulanan anda perlu berada dalam lingkungan kira-kira 2/3 daripada gaji terakhir anda untuk mengekalkan taraf hidup anda dan gaya hidup yang sudah menjadi kebiasaan buat anda.
Bank Negara menganggarkan gaji semasa (sebulan) di Malaysia yang diperlukan adalah seperti berikut:
- RM2,700 untuk dewasa bujang
- RM4,500 untuk pasangan tanpa anak
- RM6,500 untuk pasangan dengan dua anak
Anda boleh gunakan panduan di atas untuk menguji ramalan anda. Contohnya, kalau anda meramalkan yang anda hanya akan memerlukan sebanyak RM1,000 sebulan, anda mungkin perlu membuat kiraan semula kerana seorang dewasa bujang pun memerlukan sekurang-kurangnya RM2,700 untuk mengekalkan gaya hidup yang baik. Dan angka-angka ini tidak mengambil kira inflasi, jadi anda sebenarnya perlukan lebih lagi wang setiap bulan.
Berdasarkan anggaran kami, anda perlu ada sekurang-kurangnya RM578,000 dalam simpanan pada usia 55 tahun untuk memastikan bahawa anda akan dapat menampung perbelanjaan bulanan sebanyak RM2,700 sehingga usia 80 tahun. (Dengan andaian pulangan sebanyak 5% setiap tahun dan kadar inflasi 2%)
Jadual di bawah dapat membantu anda mengetahui berapa banyak wang yang anda perlu simpan setiap tahun untuk mencapai sasaran minimum ini.
- Langkah 2: Asingkan simpanan yang mencukupi untuk persaraan anda
Penting untuk mula menyimpan secepat mungkin. Anda patut mula menyimpan untuk tujuan persaraan sebaik saja anda mula bekerja. Kalau anda dapat mencapai jumlah simpanan tahunan yang dinyatakan oleh kalkulator, bagus! Itu menandakan anda berada di landasan yang betul dalam menuju persaraan. Tapi, kalau anda tak dapat capai sasaran tersebut, anda kena lakukan beberapa perubahan pada gaya hidup semasa anda. Jadi, apa yang boleh anda buat?
Ada beberapa cara untuk merapatkan jurang antara simpanan dan sasaran anda:
- Cari jalan untuk potong beberapa perbelanjaan tertentu supaya anda dapat menambah simpanan anda bagi tujuan persaraan
- Anda boleh buat penyesuaian pada gaya hidup yang anda harapkan semasa persaraan anda.. Menjalani kehidupan yang lebih sederhana setelah anda bersara adalah lebih baik supaya wang persaraan dalam jumlah yang lebih kecil diperlukan untuk mengekalkan gaya hidup anda
Dan anda juga boleh ambil langkah untuk tingkatkan simpanan dan pelaburan anda
- Meletakkan jumlah yang lebih banyak daripada pendapatan bulanan anda ke dalam pelaburan (yang baik dan selamat) seperti KWSP yang akan memberi pulangan yang baik dengan peredaran masa
- Langkah 3: Pilih di mana untuk laburkan simpanan persaraan anda
Bagaimana anda melabur untuk persaraan anda bergantung kepada usia anda. Semakin hampir anda kepada usia persaraan, risiko yang diambil untuk pelaburan anda sepatutnya lebih rendah. Ini kerana jika pelaburan anda tidak menjadi, anda tak akan ada banyak masa lagi sebelum bersara untuk membina semula dana persaraan anda.
Pilihan 1: KWSP
Caruman wajib KWSP patut dianggap sebagai jumlah paling minimum yang anda perlu letak tepi untuk persaraan anda. Seperti yang kita tahu, hanya 18% rakyat Malaysia yang memiliki akaun KWSP akan mempunyai simpanan yang cukup untuk persaraan mereka.
Sementara itu, jika anda ingin mencarum lebih banyak wang setiap bulan untuk tujuan simpanan persaraan, langkah mudah yang boleh anda ambil adalah menaikkan kadar caruman anda atau masukkan lebih banyak wang ke dalam simpanan KWSP anda secara sukarela.
Ingat, KWSP merupakan tempat yang selamat untuk melabur wang anda dan ia menjamin pulangan sebanyak 2.5% (untuk pemegang akaun konvensional). Malah, sepanjang tempoh 10 tahun yang lalu, KWSP telah memberi pulangan sekitar 6% setiap tahun.
Pilihan 2: Skim Persaraan Swasta (PRS)
PRS adalah skim simpanan dan pelaburan jangka panjang secara sukarela yang membolehkan orang ramai membina dana persaraan mereka. Tapi, jangan salah anggap bahawa PRS boleh menjadi pengganti skim KWSP. PRS tidak memberi jaminan modal (jadi, jumlah wang pokok tidak dilindungi daripada risiko kerugian) dan PRS juga tidak memberi jaminan yang sama dari segi kadar dividen seperti simpanan KWSP konvensional anda.
PRS, seperti KWSP, mengenakan sekatan ke atas jumlah wang yang anda boleh keluarkan. Sama seperti KWSP, caruman PRS juga terbahagi 70:30 kepada dua sub-akaun: Sub-Akaun A dan Sub-Akaun B. Hanya apabila anda mencapai usia persaraan 55 tahun, atau sekiranya berlaku kematian atau penghijrahan ke luar negara (emigrasi), barulah akses penuh kepada simpanan PRS anda akan diberikan. Sebelum anda bersara, pengeluaran wang hanya boleh dibuat daripada Sub-Akaun B, dan anda akan dikenakan penalti cukai sebanyak 8%.
Jenis-jenis Dana PRS
Ada dua cara untuk memilih bagaimana wang simpanan anda akan dilaburkan dalam PRS. Anda boleh ikut opsyen asal yang mana penyedia PRS anda akan memilih satu dana pelaburan asas untuk anda berdasarkan usia anda.
Sumber: https://www.ppa.my/prs-and-you/structure-of-prs/
Atau anda boleh pilih sendiri dana yang anda suka untuk melaburkan wang simpanan anda.
Pulangan
Berikut disenaraikan pulangan bagi 20 dana PRS yang paling baik prestasinya dalam tempoh 5 tahun. Klik di siniuntuk melihat prestasi dana yang lain.
Sumber: Morningstar, retrieved on 22 October 2019
Fi
Fi PRS juga ada struktur bayaran yang agak serupa dengan dana unit amanah, seperti fi jualan, fi pengurusan, dan fi pemindahan. Sesetengah penyedia PRS mengenakan fi jualan sehingga 3.00% dan fi pengurusan tahunan sehingga 1.80% dalam kes-kes tertentu, serta fi pemindahan tambahan jika anda bertukar kepada penyedia yang lain. Ingat, fi akan memakan pulangan anda!
Pelepasan cukai
Sumbangan kepada PRS akan melayakkan anda menikmati pelepasan cukai sehingga RM3,000 (https://www.ppa.my/prs-tax-relief/). Majikan juga ada pilihan untuk membuat caruman PRS bagi pihak pekerja mereka atau mencarum kadar yang sama dengan kadar caruman pekerja. Serupa dengan penjimatan cukai yang diberi kepada pekerja, majikan yang berbuat demikian juga layak mendapat potongan cukai tertentu.
Perbandingan dengan pelaburan lain
Perbandingan dengan KWSP
PRS tak menawarkan pulangan yang dijamin, jadi anda mengambil risiko yang lebih tinggi apabila melabur dalam PRS berbanding dengan KWSP. Seperti yang dikatakan tadi, PRS harus berperanan sebagai pelengkap kepada simpanan KWSP anda, bukan sebagai pengganti untuknya.
Perbandingan dengan Unit Amanah
Kelebihan utama PRS berbanding dengan unit amanah adalah anda boleh memilih untuk mengambil pendekatan kurang ambil tahu (“hands-off”) terhadap pelaburan anda. Dana PRS mempunyai pilihan tersedia (“default option”) yang membolehkan pengurus dana menyesuaikan tahap risiko pelaburan anda secara automatik supaya ia menjadi semakin konservatif semakin usia anda meningkat.
Pilihan 3: Pelaburan lain
Anda juga boleh pertimbangkan untuk melabur dalam pelaburan lain seperti unit amanah dan dana dagangan bursa (ETF) untuk mengembangkan dana persaraan anda. Tapi ingat, untuk jenis pelaburan sebegini, modal dan pulangan anda tak dijamin.
Lebih jauh anda berada daripada usia persaraan, lebih banyak ruang untuk anda membuat pelaburan yang lebih berisiko kerana anda masih mampu menanggung risiko tersebut (kalau pelaburan anda tidak menjadi, anda masih ada banyak tahun bekerja untuk menggantikan kerugian tersebut), dan masa ini boleh anda gunakan untuk memecut pertumbuhan dana persaraan anda.
- Langkah 4: Jangan sentuh simpanan persaraan anda
Sangat penting untuk anda kekalkan simpanan persaraan anda khusus untuk tujuan persaraan. Menurut KWSP, 70% daripada ahli yang mengeluarkan wang mereka pada usia 55 tahun menghabiskan wang simpanan mereka dalam masa kurang daripada satu dekad selepas bersara. Ini merupakan masalah besar kerana purata jangka hayat rakyat Malaysia ialah 74.5 tahun.
Ada masanya kita mungkin rasa seperti mengambil simpanan persaraan kita adalah satu-satunya pilihan yang kita ada untuk melangsaikan bayaran tertentu seperti wang pendahuluan untuk rumah atau kos perubatan kecemasan. Seboleh-bolehnya, elakkan daripada berada dalam situasi begini. Anda boleh hindari keadaan ini dengan menyediakan wang simpanan yang mencukupi untuk perbelanjaan yang boleh diramalkan (seperti kos perumahan & pendidikan), serta mengasingkan sedikit dana untuk digunakan semasa berada dalam kesusahan.
Baca Pelaburan 101 untuk pelajari dengan lebih lanjut tentang cara-cara untuk mula melabur..
Related Quizzes