Pinjaman Peribadi

Kredit boleh didapati dalam pelbagai bentuk, dan ia satu kemudahan berguna yang dapat membantu kita membina kehidupan dan bertahan dalam situasi kecemasan. Namun, ia juga boleh membawa padah jika disalahgunakan.

Guide

Ringkasan

Pinjaman peribadi ialah satu cara anda boleh meminjam wang daripada sebuah bank atau institusi kewangan.nggaplah ia sebagai sejenis pinjaman umum yang tidak memerlukan anda memberi apa-apa cagaran kepada pihak bank, seperti sebuah rumah atau kereta. Anda mempunyai kebebasan (dan tanggungjawab) untuk menggunakan wang pinjaman itu untuk membayar apa sahaja mengikut keperluan anda. 

  • Punca utama muflis di Malaysia 
    Pinjaman peribadi ialah #1 penyebab muflis di Malaysia. Jika anda tidak BENAR-BENAR perlu membuat pinjaman peribadi, jangan lakukannya! 

    Jika tujuan anda mendapatkan pinjaman peribadi ialah untuk membayar hutang-hutang anda yang lain, anda patut pergi dulu ke Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) untuk mendapatkan kaunseling kewangan. Ini boleh menyelamatkan anda daripada terjerumus ke dalam masalah kewangan yang lebih parah! 
     
  • Semak kadar faedah 
    Kadar faedah untuk pinjaman peribadi selalunya lebih rendah daripada kad kredit, tapi masih boleh mencapai setinggi 18% setahun! Jika anda memang perlu membuat pinjaman peribadi, pastikan anda membuat pilihan pinjaman yang betul dengan kadar faedah yang paling rendah. 
     
  • Berwaspada dengan pinjaman peribadi daripada pemberi pinjam wang tak berlesen 
    Daripada laporan akhbar, kita tahu bahawa meminjam dengan pemberi pinjam wang yang tidak berlesen adalah bahaya dan boleh menyebabkan masalah kewangan yang teruk. Pastikan anda selidik pemberi pinjam mana yang berlesen dan yang mana tidak berlesen, dan JANGAN pergi meminjam dengan Ah Long!! 

    (Kemuflisan ialah satu status undang-undang yang menandakan bahawa seseorang itu telah gagal membayar balik hutang mereka kepada pemiutang mereka. Anda akan diisytiharkan muflis selepas anda menjalani satu prosiding kemuflisan dan seorang hakim telah mengisytiharkan anda muflis. Tidak membayar hutang tidak semestinya menjadikan anda muflis, tetapi ia menjadikan anda tidak mampu bayar (insolvent). Jumlah hutang anda kepada pemiutang perlu mencecah sekurang-kurangnya RM50,000 sebelum anda boleh diisytiharkan muflis.)
Infografik

JOM SELAMI LAGI TOPIK NI...
 

Patut ke anda ambil satu pinjaman peribadi?

Sebelum membuat apa-apa keputusan kewangan, sebagai langkah yang baik anda patut tanya beberapa soalan penting kepada diri sendiri: 

Apa yang akan saya beli dengan duit tersebut? Adakah saya benar-benar perlukannya (contohnya adakah ia diperlukan untuk tujuan perubatan?) atau untuk kemahuan (seperti percutian mewah)? 

Pinjaman peribadi BUKAN satu jalan untuk membuka peluang memiliki sesuatu yang anda tidak mampu. Ia sepatutnya hanya digunakan untuk tujuan kecemasan. Berhutang dengan meminjam wang menjerumuskan anda ke dalam satu pusingan hutang yang tak berkesudahan 

Adakah saya mengambil pinjaman peribadi untuk dijadikan dana pelaburan? 

Anda juga tak patut menggunakan pinjaman peribadi untuk membuat pelaburan. Contohnya, jangan ambil pinjaman untuk membeli saham atau matawang kripto. Tiada sebarang jaminan yang anda akan dapat pulangan daripada pelaburan, jadi mengambil pinjaman untuk melabur juga merupakan satu tindakan yang berisiko tinggi. 

Boleh ke saya gunakan wang simpanan saya untuk membayar apa yang saya mahu? Patut ke saya tunggu dan beli apabila saya ada duit lebih? 

Kalau ada sesuatu yang anda betul-betul ingin beli, menabunglah sikit demi sikit. Ini lebih baik daripada mengambil pinjaman. Gunakan kalkulator matlamat simpanan supaya anda tahu berapa banyak wang yang anda perlu simpan setiap bulan, sehingga anda mampu memilikinya. 

Adakah saya mengambil pinjaman peribadi untuk menyelesaikan hutang saya yang tertunggak? 

Ada sesetengah orang mengambil pinjaman peribadi untuk melunaskan hutang-hutang mereka yang lain. Dengan cara ini hanya satu pembayaran perlu dibuat pada kadar faedah yang sepatutnya lebih rendah. Jika anda juga dalam situasi ini, dapatkan kaunseling kewangan terlebih dahulu di AKPK untuk pastikan sama ada pinjaman peribadi memang cara yang terbaik untuk menguruskan hutang anda.

Apa perbezaan antara hutang kad kredit dengan hutang pinjaman peribadi?

Kadar faedah untuk baki kad kredit selalunya jauh lebih tinggi 

Kadar faedah kad kredit sering mencapai setinggi 18%, berbanding 10% atau kurang untuk pinjaman peribadi. 

Kadar pembayaran balik pinjaman peribadi adalah tetap. 

Anda perlu membayar ansuran bulanan sepanjang tempoh pinjaman tersebut. Kad kredit lebih fleksibel dan anda boleh bayar apa-apa jumlah yang anda mahu, asalnya jumlah itu tidak kurang daripada jumlah minimum yang diperlukan. Walau bagaimanapun, sila baca penerangan kami tentang kad kredit untuk memahami bagaimana pembayaran balik minimum untuk kad kredit anda akan menyebabkan anda membayar jumlah faedah yang banyak.

Macam mana nak pilih pinjaman peribadi?

Iklan pinjaman peribadi selalunya akan menyatakan ciri-ciri utama pinjaman yang ditawarkan, termasuk: 

  • Fi dan kadar faedah yang rendah 
  • Bayaran ansuran yang rendah 
  • Tempoh pinjaman sehingga 7 tahun dan pembiayaan tinggi.

Bayaran ansuran rendah dan tempoh pinjaman yang lebih panjang mungkin menggalakkan kita mengambil pinjaman peribadi, tapi jangan tertipu. Apa yang anda patut selidik ialah jumlah faedah yang perlu dibayar sepanjang tempoh pinjaman tersebut. 

Kadar faedah 

Iklan pinjaman peribadi akan menyatakan perkara seperti ‘kadar menarik serendah 0.66% p.m.,(‘p.m’ bermaksud ‘sebulan’, iaitu kadar yang akan dikenakan terhadap jumlah pinjaman anda setiap bulan.) 

Untuk menukar angka ini kepada kadar faedah tahunan (p.a.), anda cuma perlu darabkan angka tersebut dengan 12:

 0.66%×12=7.92% 

Untuk mengetahui kadar yang sebenar, SENTIASA lihat lembaran pendedahan produk. Kami sertakan satu contoh di bawah. Maklumat dalam kotak merah ialah apa yang anda patut perhatikan:

Apakah maklumat yang anda dapati daripada lembaran pendedahan produk?

  • Kadar faedah ialah antara 0.66% dan 1.50% setiap bulan atau antara 7.92% dan 18% setiap tahun. Nampaknya kadar 18% itu lebih kurang sama saja dengan kadar faedah untuk menggunakan kad kredit! 
  • Kadar faedah efektif jauh lebih tinggi (iaitu faedah yang anda akan bayar jika anda masukkan kesan pengkompaunan)

Anda akan dapati bahawa lebih panjang tempoh pinjaman anda, lebih sedikit jumlah yang anda perlu bayar setiap bulan untuk apa juga jumlah pinjaman. TAPI jumlah faedah yang anda akan bayar akan menjadi jauh lebih tinggi. 

Katakan anda pinjam RM 10,000 dengan kadar faedah 0.66% setiap bulan untuk tempoh pinjaman 12 bulan. Jumlah faedah yang anda akan bayar untuk keseluruhan tempoh pinjaman ialah RM 792. 

Tapi, jika anda memgambil tempoh pinjaman selama 84 bulan (7 tahun) untuk mendapatkan ansuran bulanan yang jauh lebih rendah, anda akan dapati faedah keseluruhan yang anda bayar berjumlah RM5,600!

 

Tahun1357
Jumlah pinjamanRM10,000RM10,000RM10,000RM10,000
Bayaran balik bulananRM900RM344RM233RM186
Total repaymentRM10,800>RM12,400RM14,000RM15,600

Gunakan kalkulator yang disediakan untuk melihat berapa banyak faedah dan bayaran yang anda perlu tanggung jika anda mengambil pinjaman peribadi.

Pastikan anda mengambil kira bayaran fi yang akan dikenakan juga!

Apa yang patut saya buat jika permohonan pinjaman peribadi saya ditolak?

Saya memang betul-betul perlukan duit, mungkin saya patut pergi pinjam dengan Ah Long? 

Jika permohonan pinjaman anda ditolak dan anda rasa terdesak untuk pergi meminjam dengan Ah Long, BERWASPADALAH.. 

Kalau anda dengar Ah Long menyebut "Sepuluh Tiga" and "Sepuluh Empat", maksudnya mereka akan mengenakan caj faedah pada kadar 30% atau 40% setiap bulan. Dan itu bukan faedah untuk setahun, itu faedah untuk sebulan! Jadi katakan anda perlu meminjam RM 1,000, anda perlu membayar balik dalam tempoh 12 bulan, dan Ah Long menawarkan pinjaman ini kepada anda pada kadar faedah 30%. 

Ini apa yang anda akan bayar: 

Jumlah kos keseluruhan: RM 3,761 
Kos faedah: RM 2,761 (ya, anda kena bayar lebih daripada dua kali ganda jumlah pinjaman sebanyak RM1,000!) 
Bayaran balik bulanan anda: RM 313 

Adakah anda mampu membayar RM 313.45 sebulan? 

Menurut laporan akhbar, ada kemungkinan Ah Long ini boleh berkelakuan ganas dan akan merampas dokumen penting daripada anda sebagai cara untuk memastikan anda membayar balik semua hutang anda dengan mereka. Dan Ah Long takkan terima pun kalau anda nak langsaikan hutang anda lebih awal, mereka nak pastikan mereka dapat setiap sen duit mereka semula, serta semua faedah!

Nasihat Berguna

Senarai semak soalan untuk anda tanya kepada bank/pemberi pinjam wang anda 

Anda patut tahu semua terma dan syarat sebelum anda memohon untuk mendapatkan pinjaman. Berikut ialah satu ringkasan senarai semak soalan-soalan yang anda patut tanya kepada bank/pemberi pinjam wang anda. 

  • Apakah kadar faedah setahun jika saya ambil satu pinjaman untuk tempoh X tahun? 

    ika mereka menyebut nombor yang kecil seperti 1.5%, pastikan anda tanya sama ada itu kadar faedah sebulan atau setahun. Ingat: 1.5% setiap bulan maksudnya 18% faedah setiap tahun. Jadi, kalau anda nak ambil pinjaman peribadi untuk membayar hutang kad kredit, itu idea yang sangat buruk! 

    Mengikut undang-undang, pemberi pinjam wang berlesen tidak boleh mengenakan faedah lebih daripada 12% setahun jika cagaran diberikan, dan tidak lebih 18% untuk pinjaman tanpa cagaran (pinjaman tanpa memberi apa-apa sandaran atau cagaran) (Sumber: Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, Bahagian V, 17(a)) 
     
  • Berapa kos keseluruhan faedah pinjaman ini? 
     
  • Berapa jumlah yang saya perlu bayar setiap bulan? 

    Pastikan anda boleh membuat pembayaran bulanan tersebut. 
     
  • Apakah caj jika saya langsaikan pinjaman lebih awal (juga dikenali sebagai penalti bayaran terdahulu)?
     
  • Bagaimana kadar faedah akan bertambah jika saya tak buat bayaran bulanan? Adakah terdapat penalti lain yang dikenakan? 

    Perbelanjaan bulanan kita kadang-kadang tak dapat dijangka, dan kita mungkin terlepas satu atau dua bayaran bulanan. Tanya sama ada kadar faedah anda akan bertambah dan apa kadar penalti atau caj pembayaran lewat yang akan dikenakan 

    Jika pihak bank/pemberi pinjam wang tidak memberi jawapan yang jelas kepada soalan-soalan ini atau mereka mendesak anda untuk membuat permohonan terlebih dahulu, anda patut anggap ini sesuatu yang mencurigakan. Mereka mungkin pemberi pinjam wang yang tidak boleh dipercayai dan dikhuatiri anda mungkin akan terjerat dalam satu perangkap kewangan.

Pastikan anda berurusan dengan pemberi pinjam wang yang berlesen

Kadang-kadang susah juga kita nak tahu yang mana peminjam wang berlesen dan yang mana tidak berlesen. 

Ada pemberi pinjam wang yang berpura-pura memiliki lesen walaupun sebenarnya mereka tiada lesen – jadi berwaspadalah! 

Jika anda mencari pinjaman di internet atau berbual melalui Whatsapp dengan seseorang yang menawarkan pinjaman peribadi kepada anda, tolong amalkan sikap yang sangat berhati-hati! 

Seperti kebanyakan orang di Malaysia, anda mungkin pernah mendengar atau membaca kisah-kisah menakutkan tentang orang yang pernah menjadi mangsa lintah darat dan kaedah operasi mereka yang mencurigakan. Sebab itulah amat penting untuk anda lakukan kajian tentang pemberi pinjam wang yang anda pilih sebelum anda teruskan niat untuk meminjam duit daripada mereka. Pastikan anda sentiasa baca cetak halus terma dan syarat pinjaman, dan ambillah masa yang anda perlukan sebelum menandatangani apa-apa dokumen (jangan biarkan orang lain memberi tekanan kepada anda tentang hal ini!). 

Contoh di bawah menunjukkan rupa lesen yang kelihatan seperti lesen asli yang dikeluarkan oleh Bank Negara tetapi sebenarnya PALSU:
 

Jangan ambil risiko. Jika anda ada sebarang keraguan atau pertanyaan tentang kesahan mana-mana pemberi pinjam wang,hubungi Bank Negara. Anda boleh dapatkan pengesahan daripada mereka bahawa anda sedang berurusan dengan pemberi pinjam wang yang berdaftar dan mempunyai lesen yang sah:

BNMTELELINK (Pusat Hubungan Pelanggan)
Tel: 1-300-88-5465
Email: [email protected]
Untuk membuat sebarang pertanyaan atau aduan, taip 15888
BNM TANYA

Details
Published Date
06 Jan 2021
Source
MULTIPLY
Share

Related Quizzes

Discover other related quizzes