Pelaburan Emas

Pelaburan Emas

Emas ialah satu pilihan pelaburan yang popular. Anda mungkin beranggapan bahawa ia satu pelaburan yang semestinya akan membawa keuntungan kerana orang selalu kata yang harga emas tak akan jatuh. Tapi melabur dalam emas bukanlah mudah, ia bukan sekadar membeli jongkong emas atau barang kemas. Sebenarnya ada banyak cara untuk melabur dalam emas.

Mari kita lihat apa yang anda perlu tahu sebelum melabur dalam emas.

Ringkasan

1. Seperti jenis pelaburan yang lain, harga emas mengalami naik turun.

2. Apabila melabur dalam emas, anda perlu fikirkan tentang:

  • Jenis pelaburan emas yang anda ingin buat
  • Perbezaan antara harga lani (spot price) (harga pasaran global) emas dan harga anda membeli atau menjual emas anda
  • Kecairan
  • Insurans

3. Ada banyak cara untuk melabur dalam emas, jadi anda patut pilih kaedah yang sesuai dengan anda.

 

JOM SELAMI LAGI TOPIK NI...
What do you need to understand before investing in gold?

Bagaimana emas dinilaikan?

Emas dinilaikan berdasarkan penawaran dan permintaan. Lebih tinggi permintaan, lebih tinggi harganya dan sebaliknya.

Adakah emas pelaburan yang baik?

Untuk menjawab soalan ini, mari kita pecahkan kepada dua bahagian.

  1. Pelaburan jangka pendek

    (Sumber: World Gold Council)

    Kalau kita lihat sejarah harga emas, dari tahun 1980-an hingga awal 2000, harga emas kekal lebih kurang sama. Jadi untuk tempoh 40 tahun, harga emas memang tak banyak berubah! Walau bagaimanapun, emas telah mengalami kenaikan harga pada tahun 2004. Lapan tahun selepas itu, harga emas memuncak pada tahun 2012, dan kemudian ia jatuh semula. Harga emas kini sedang mengalami kenaikan sekali lagi dalam tahun 2020, iaitu lapan tahun sejak harga tertinggi yang direkodkan sebelumnya.

    Dalam jangka pendek, harga emas selalu naik turun, dan ini menjadikannya satu pelaburan yang kurang stabil. Tapi kalau anda sanggup mengambil lebih risiko, anda mungkin boleh buat duit. Namun, dengan pengambilan risiko yang lebih tinggi, anda mungkin akan kehilangan wang anda.
     

  2. Long term investment
    Walaupun prestasi lampau tak sepatutnya digunakan untuk meramalkan trend masa depan, harga emas untuk jangka panjang telah menunjukkan kenaikan yang agak banyak dalam tempoh 50 tahun yang lepas (satu tempoh yang lama). Satu kekurangan pegangan pelaburan emas untuk jangka panjang ialah ketiadaanpendapatan dividen. Satu-satunya cara untuk anda buat duit daripada emas ialah dengan menjualnya. Sebaliknya, jenis pelaburan lain seperti pelaburan saham tertentu ada membayar dividen, jadi anda akan dapat nikmati pendapatan dividen semasa masih memegang pelaburan anda.
     

Mengapa melabur dalam emas?

Jika dilihat dari sudut sejarah, orang akan melabur dalam emas dalam situasi berikut:

  1. Kadar faedah yang rendah

    Selalunya apabila kadar faedah dan pulangan daripada Deposit Tetap adalah rendah, ramai orang akan melabur dalam emas kerana mereka merasakan bahawa emas mampu memberikan pulangan yang lebih tinggi.

  2. Ketidaktentuan ekonomi

    Apabila ekonomi tidak menentu dan pelabur berasa risau, atau apabila matawang mungkin terjejas, biasanya orang akan melabur dalam emas.

  3. Pembetulan pasaran

Adakah pelaburan emas patuh Shariah?

Pelaburan emas adalah patuh Shariah jika ia memenuhi dua kriteria:

  1. Pelaburan tersebut disokong emas fizikal.
  2. Jual-beli emas fizikal dilakukan dalam tempoh masa seperti yang ditakrifkan oleh World Gold Council dan Organisasi Perakaunan dan Pengauditan untuk Institusi Kewangan Islam (AAOIFI).
Bagaimana untuk melabur dalam emas

Emas Fizikal

Anda boleh beli emas dalam bentuk barang kemas, jongkong emas atau dinar emas. Untuk bentuk emas yang berbeza-beza, harganya per gram adalah berlainan, bergantung kepada kos pembuatan dan kos buruh. Contohnya, apabila anda membeli barang kemas, anda membayar untuk rekaan dan nilai emas itu, tapi bila anda cuba menjualnya semula, besar kemungkinan anda hanya akan dapat 70% daripada nilai pasarannya. Apabila anda membeli emas fizikal, anda bertanggungjawab menyimpannya dengan selamat. Jadi, anda mungkin perlu sewa peti besi atau dapatkan insurans untuk tujuan itu. Emas fizikal mempunya kecairan yang kurang kerana anda perlu cari pembeli sendiri. Sebarannya boleh turun naik bergantung kepada siapa yang menjualnya kepada anda.

Apa perkara yang anda perlu peka?

Dalam kes tertentu, apabila anda membeli jongkong emas atau dinar emas daripada kedai, emas tersebut boleh bercampur dengan logam lain. Jadi pastikan anda dapatkan sijil ketulenan dan hanya beli daripada penjual berdaftar.

Dana Dagangan Bursa (ETF) Disokong Emas

ETF ialah sekelompok sekuriti (seperti saham) yang anda boleh beli dan jual melalui bursa saham. ETF yang disokong emas didagangkan sama seperti ETF yang lain, tetapi ia hanya disokong oleh satu aset sahaja iaitu emas. Untuk belajar lagi tentang ETF, baca panduan kami.

Buat masa sekarang, satu-satunya ETF yang disokong emas di Bursa Malaysia ialah TradePlus Shariah Gold Tracker yang menjejak prestasi emas. Kebanyakan dana ETF menggunakan emas diperuntukkan, jadi anda tidak memiliki emas tersebut. Memandangkan ETF didagangkan di sebuah bursa, ia adalah pelaburan dengan kecairan yang tinggi dan sebarannya pula selalunya sangat kecil. Ada ETF yang turut membayar anda dividen, selain daripada keuntungan yang diperolehi daripada kenaikan harga emas.

Apa perkara yang anda perlu peka?

TradePlus Shariah Gold Tracker secara amnya hanya menjejak harga emas. Jadi anda tidak mempunyai apa-apa hak terhadap mana-mana emas.

Akaun Pelaburan Emas (GIA)

Anda boleh melabur dalam emas melalui akaun pelaburan emas di bank. Melalui akaun seperti ini, anda boleh mendapat keuntungan daripada pelaburan anda dengan membeli dan menjual emas dalam talian, maka ini menjadikannya satu pelaburan yang mempunyai kecairan yang tinggi. Bagi kebanyakan bank, amaun minimum yang akan mereka beli ialah 1 gram. GIA meggunakan emas tidak diperuntukkan, iaitu emas yang dimiliki oleh pihak bank. Jadi, anda tak akan boleh mengeluarkan emas daripada bank. Tapi, anda boleh dapatkan pelaburan anda balik dalam bentuk tunai atau anda boleh kreditkan nilai tersebut kepada akaun anda yang lain. GIA selalunya mengenakan sebaran yang agak besar

Apa perkara yang anda perlu peka?

Emas dalam GIA tidak dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM). Jadi kalau bank terpaksa tutup, pelaburan anda akan turut hilang.

Pelaburan Emas Internet

Ada beberapa syarikat seperti HelloGold yang membolehkan anda membeli emas fizikal dalam talian dan emas itu akan disimpan untuk anda di dalam sebuah peti besi (diperuntukkan) sehingga anda ingin menjualnya. Anda ada dua pilihan dari segi cara menjual emas anda. Satu cara ialah dengan menjualnya balik kepada syarikat yang sama, atau anda boleh mengeluarkan emas anda daripada syarikat tersebut. Kebanyakan syarikat pelaburan emas mempunyai syarat pelaburan minimum yang rendah dan lazimnya akan mengenakan sebaran yang rendah juga, tetapi ada kos lain yang perlu ditanggung seperti kos transaksi dan kos pentadbiran. Pelaburan emas Internet selalunya mempunyai kecairan yang tinggi, melainkan jika anda telah mengeluarkannya daripada syarikat berkenaan.

Apa perkara yang anda perlu peka?

Ada syarikat tertentu yang tidak akan membeli balik emas fizikal daripada anda setelah anda mengeluarkannya dan anda perlu menjualnya di tempat lain.

Saham Berkaitan Emas

Anda boleh membeli saham perlombongan emas atau saham syarikat yang menjual barang kemas. Harga saham syarikat perlombongan emas mungkin berkait rapat dengan harga emas, Namun, jangan lupa ada faktor lain yang boleh menaikkan harga saham. Jika syarikat tersebut mencatatkan keuntungan dan memberikan bayaran dividen, anda boleh dapat lebih banyak keuntungan berbanding jika anda hanya melabur dalam emas.

Apa perkara yang anda perlu peka?

Ingat, ada faktor-faktor lain yang menentukan harga saham. Jadi, kalau harga emas sedang naik tetapi prestasi syarikat tidak memberangsangkan, harga saham syarikat tersebut mungkin tak akan naik dan anda tak akan menerima dividen. Seperti melabur dalam mana-mana saham yang lain, pastikan anda buat kajian untuk memahami selok-belok syarikat tersebut sebelum melabur. Baca panduan kami untuk memahami apa itu saham dan bagaimana anda patut menilai saham

Beri perhatian kepada faktor-faktor ini semasa melabur dalam emas
  1. Cara Melabur

    Lima cara lazim untuk melabur dalam emas ialah:

    1. Emas fizikal
    2. ETF disokong Emas
    3. Akaun Pelaburan Emas
    4. Pelaburan Emas Internet
    5. Saham berkaitan emas
       
  2. Siapa memiliki emas tersebut
    Ada dua jenis pemilikan emas – emas diperuntukkan dan emas tidak diperuntukkan. Emas diperuntukkan bermaksud anda menjadi pemilik emas tersebut. Emas tidak diperuntukkan pula bermaksud syarikat yang anda melabur di dalamnya menjadi pemilik emas. Satu contoh emas diperuntukkan ialah apabila anda membeli emas fizikal. Satu contoh emas tidak diperuntukkan ialah apabila anda membuka Akaun Pelaburan Emas dengan sebuah bank. Dalam kes ini, emas dimiliki oleh pihak bank dan bukan anda, sebab itulah ia dinamakan emas tidak diperuntukkan.

    Emas diperuntukkan memberi anda jaminan bahawa emas tersebut dimiliki oleh anda. Namun, ini selalunya akan memakan jumlah kos yang lebih besar kerana anda perlu bayar fi penyimpanan dan fi insurans untuk pastikan emas anda selamat. Kalau anda menyimpannya di rumah, anda mungkin kena beli peti simpanan untuk menyimpan emas itu. Contohnya, bila anda beli emas fizikal, anda adalah pemilik emas itu, jadi ia adalah emas diperuntukkan.

    Dengan emas tidak diperuntukkan, anda akan membayar jumlah fi yang kurang, kerana anda tak perlu tanggung kos simpanan atau insurans, maka ini menjadikannya satu pilihan pelaburan emas yang lebih murah. Tapi ia boleh jadi lebih berisiko kerana jika syarikat itu terpaksa tutup, anda mungkin akan kehilangan pelaburan anda.

    Jika anda lebih pentingkan keselesaan mengetahui yang pelaburan anda selamat, pertimbangkan penggunaan kaedah pelaburan emas diperuntukkan. Jika anda hanya ingin bayar fi yang kurang dan tak kisah tentang risiko yang lebih tinggi, anda boleh pertimbangkan kaedah pelaburan emas tidak diperuntukkan.
     
  3. Sebaran
    Sebaran ialah perbezaan antara harga lani (spot price)(pasaran global) emas dan harga anda menjual atau membeli emas anda. Semua kaedah melabur dalam emas akan mengenakan sebaran, tapi ada yang jumlahnya lebih besar daripada yang lain. Sebaran yang lebih besar bermaksud anda perlu bayar lebih untuk membeli emas. Sebaran yang lebih kecil bermaksud bahawa harga yang anda bayar lebih dekat dengan harga lani apabila membeli emas.
  4. Contohnya, jika harga pasaran global emas ialah RM252 per gram, anda mungkin kena bayar RM254 per gram, iaitu RM2 lebih daripada harga pasaran. Atau apabila anda menjual emas anda, anda mungkin harus menjualnya pada harga RM250 per gram, iaitu RM2 lebih rendah daripada harga pasaran. Jadi carilah pelaburan dengan julat perbezaan sebaran yang paling kecil untuk membantu anda menjimatkan kos.
  5. Kecairan

    Kecairan merujuk kepada berapa cepat anda boleh menjual suatu pelaburan untuk mendapatkan tunai. Bergantung kepada cara yang anda pilih untuk melabur dalam emas, ia mungkin lebih senang atau lebih susah untuk dijual. Contohnya, menjual emas fizikal lebih susah daripada menjual satu Dana Dagangan Bursa (ETF) yang disokong emas. Sebab utamanya ialah kerana anda perlu cari pembeli untuk emas fizikal, dan ia perlu dibawa bersama semasa membuat jualan. Dengan ETF, anda boleh jual pelaburan anda melalui bursa saham seperti Bursa Malaysia, lebih kurang sama seperti membeli dan menjual saham. Jadi, jika ada kemungkinan yang anda akan perlukan wang tunai dengan cepat, anda patut pilih cara pelaburan yang mempunyai kecairan yang tinggi.

  6. Insurans
    Oleh sebab emas ialah item yang bernilai, adalah penting untuk pastikan yang ia dilindungi oleh insurans daripada risiko seperti kecurian. Bukan semua pelaburan emas dilindungi. Bergantung kepada cara anda melabur, mungkin syarikat yang berkenaan ada mengambil insurans untuk melindungi emas anda atau anda mungkin perlu uruskan insurans emas anda sendiri. Apa pun, pastikan anda ambil tindakan yang sepatutnya untuk melindungi pelaburan emas anda!


    1Harga Emas, World Gold Council

 

Details
Published Date
12 Feb 2021
Source
MULTIPLY
Share

Related Articles

Discover other related articles