Pemfailan Cukai Langkah Demi Langkah

Pemfailan Cukai Langkah Demi Langkah
Ringkasan

 Langkah 1: Daftar untuk fail cukai (untuk pembayar cukai kali pertama sahaja)

  • Langkah 2: Log masuk ke dalam laman web e-Filing
  • Langkah 3: Pilih borang cukai yang betul
  • Langkah 4: Isikan dan semak butiran anda
  • Langkah 5: Bayar cukai pendapatan

 

JOM SELAMI LAGI TOPIK NI...
Langkah 1: Daftar untuk fail cukai (untuk pembayar cukai kali pertama sahaja)

Mula-mula, anda perlu memohon untuk mendapatkan nombor rujukan cukai pendapatan di mana-mana pejabat LHDN. Atau, anda boleh daftar dalam talian melalui e-Daftar. Begini cara untuk mendaftar dalam talian:

  • Pergi ke e-Daftar, klik Borang pendaftaran online dan isikan maklumat peribadi anda. Jangan lupa simpan nombor permohonan anda setelah anda menghantar permohonan, kerana LHDN mungkin meminta nombor itu daripada anda apabila anda pergi untuk mendapatkan nombor PIN anda.
  • Setelah menghantar permohonan, anda perlu muat naik sekeping gambar kad pengenalan anda dalam tempoh 14 hari.
  • Akhir sekali, pergi ke pejabat LHDN untuk dapatkan nombor PIN anda. Nombor PIN ini anda perlu gunakan untuk mendaftar/daftar masuk di laman web e-Filing LHDN.

Ada juga pilihan untuk mendapatkan nombor pin dalam talian, tapi ramai yang beritahu kami mereka tak berjaya mendapatkannya. Kalau anda ada maklumat tambahan tentang perkara ini, kongsikanlah dengan kami di sini.

Langkah 2: Log masuk ke dalam laman web e-Filing
  • Di laman e-Filing klik Login Kali Pertama.

 

  • Masukkan Nombor Pin yang diterima daripada LHDN dan juga nombor pengenalan anda (contohnya nombor kad pengenalan, nombor pasport, nombor tentera, nombor polis)

Langkah 3: Pilih borang cukai yang betul

Borang cukai pendapatan yang anda patut gunakan bergantung kepada sumber pendapatan anda, contohnya bekerja dengan majikan, memiliki perniagaan ataupun sumber pendapatan lain. Pastikan anda pilih borang yang betul.

  • Di bawah e-Filing, pilih e- Borang untuk melihat semua borang. Bagi seorang pekerja yang tiada sumber pendapatan perniagaan, sila gunakan borang BE .

 

Langkah 4: Isikan dan semak butiran anda
  • Pastikan semua butiran peribadi yang diisi dalam borang adalah betul, seperti butiran untuk berhubung dan butiran bank.
  • Isi butiran pendapatan mengikut jadual di bawah:

 

  1. Isi butiran pendapatan anda yang boleh didapati daripada Borang EA (Bahagian C merujuk kepada keseluruhan) (Jangan lupa memasukkan bonus anda juga!)

    Nota: Jika anda ada sumber pendapatan yang lain, anda harus isi maklumat tersebut di sini juga. Contohnya, untuk pendapatan sewaan, anda harus memasukkan pendapatan sewaan bersih yang diperoleh (setelah menolak bayaran cukai tanah, dan lain-lain). Jika anda ada memperoleh pendapatan melalui komisyen, anda perlu memasukkan butiran itu juga berdasarkan borang CP58 yang diberikan oleh syarikat yang membayar komisyen tersebut kepada anda.

  2. Sahkan bahawa organisasi yang telah menerima derma daripada anda termasuk dalam senarai yang diluluskan oleh LHDN (Klik di sini untuk semak).
  3. Sahkan bahawa amaun PCB yang diletakkan dalam borang anda sama dengan amaun PCB yang tercatat dalam Borang EA(Rujuk kepada Bahagian D, No.1)
  4. Isikan pelepasan cukai dan rebat yang anda layak tuntut. Untuk melihat senarai penuh pelepasan untuk tahun 2019 (bagi tujuan pemfailan dalam tahun 2020), sila klik di sini.
  5. Pelepasan cukai boleh membantu mengurangkan cukai anda. Pastikan anda membuat tuntutan pelepasan cukai dengan betul dan jangan lupa simpan semua resit untuk pelepasan yang anda tuntut.

 

  • Setelah anda isi semua maklumat, pergi ke bahagian ringkasan untuk semak jumlah cukai kena bayar anda untuk tahun tersebut.
     

 

  • Setelah anda semak dan pastikan semua maklumat adalah betul, anda boleh tandatangan dan hantar borang anda.

 

Langkah 5: Bayar cukai pendapatan

Jika jumlah PCB untuk tahun tersebut lebih tinggi daripada jumlah cukai pendapatan kena bayar yang dikira, anda akan mendapat bayaran balik. Sebaliknya, jika jumlah PCB kurang, anda perlu membayar jumlah perbezaan yang ada.

Terdapat beberapa cara untuk anda membayar cukai: antaranya dengan membuat bayaran di kaunter LHDN, melalui internet, perbankan telefon, mesin ATM atau Mesin Deposit Tunai. Untuk senarai penuh cara-cara pembayaran anda boleh rujuk di sini.

Seperti yang diterangkan dalam Panduan Pemfailan Cukai 101, pemfailan cukai ada kelebihannya dan jika anda lakukannya langkah demi langkah, prosesnya akan menjadi mudah. Jadi, ambillah sedikit masa untuk mempelajari prosesnya dan memahami bagaimana untuk menuntut pelepasan dengan betul supaya anda boleh mendapat manfaat yang maksimum. Sekiranya anda memerlukan bantuan, hubungi talian khidmat pelanggan LHDN untuk e-Filing di 03-8911 1400. Selamat memfailkan cukai!

Details
Published Date
29 Dec 2020
Source
MULTIPLY
Share

Related Articles

Discover other related articles